Video oleh AZLAN BAHRUM

Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat), Ahmad Feizal Haladin berkata, acara yang julung kali diadakan itu bertujuan mengimbau nostalgia batu giling yang digunakan masyarakat dahulu kala bagi penyediaan bahan memasak dalam semangat bergotong-royong.

"Batu giling merupakan alatan penting bagi menghancurkan rempah-ratus dan hari ini terdapat sebanyak 406 batu giling dibawa ke sini, dengan ada di antaranya yang difahamkan berusia lebih 100 tahun.

"Sambutan amat menggalakkan apabila penduduk tanpa mengira bangsa bersama-sama cuba menggiling, bahkan pengunjung terutama generasi muda begitu teruja melihat perkakasan dapur ini penggunaannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Acara menggiling cili dan rempah beramai-ramai berlangsung kira-kira sejam bermula pukul 3 petang tadi.

Sejumlah 203 kilogram cili giling berjaya dihasilkan dalam program yang menarik penglibatan 203 Jawatankuasa Keamjuan dan Keselamatan Kampung di daerah ini.

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Azizah Ngah, 62, dari J3K Kampung Panji Alam berkata, dia kembali menggunakan batu gilingnya yang sudah puluhan tahun tersimpan di stor bagi menjayakan acara tersebut.

"Menggiling ini rumit tetapi hasilnya lebih halus berbanding guna mesin pengisar. Pertama kita kena rebus dahulu cili kering dan selepas itu digiling hingga lumat sebelum mahu memasukkan bahan-bahan lain seperti lengkuas dan sebagainya," katanya. - UTUSAN ONLINE