Video Oleh ZAAIN ZIN

Pembatalan darjah kebesaran Darjah Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II) mereka berdua berkuat kuasa semalam. Turut ditarik balik ialah jawatan Jaksa Pendamai (JP) milik Wan Abd. Rahim.

Husam yang merupakan Naib Presiden PAN dan Wan Abdul Rahim selaku Pengerusi PAN Kelantan mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan bersama dikeluarkan hari ini.

Kedua-dua mereka menerima surat rasmi daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat memaklumkan perkara tersebut, petang semalam.

“Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua mengembalikan ketandaan darjah kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir pada pukul 10 pagi ini.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia tidak berbelah-bahagi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V,” kata mereka.

Kenyataan bersama itu dibacakan oleh Wan Abdul Rahim dalam sidang akhbar di pejabat PAN Kawasan Kota Bharu di sini hari ini.

Husam bagaimanapun tidak hadir.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Rahim berkata, alasan darjah kebesaran tersebut ditarik balik tidak dinyatakan namun sebagai rakyat Kelantan yang setia, beliau reda dan akur terhadap arahan tersebut.

Beliau yang pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Kelantan dikurniakan DJMK yang membawa gelaran Datuk pada 2004 sebelum dilantik sebagai JP pada 2007.

Sementara itu, Husam yang pernah menjadi Exco kanan Kerajaan Pas Kelantan menerima darjah kebesaran itu pada 2006.

Selain Kelantan, mereka ber­dua tidak pernah menerima pi­ngat atau darjah kebesaran daripada negeri lain atau Persekutuan.

Husam ketika ditemui pada majlis berasingan berkata, beliau menjunjung kasih dan taat setia kepada baginda walaupun tiada sebab yang dikemukakan oleh pihak istana.

“Itu tidak menjadi masalah dan saya akan tetap meneruskan khidmat sebagai ahli politik dan ketaatan saya pada baginda kekal seperti biasa,” katanya.