Setiausaha Bahagian Industri Asas Tani kementerian, Norison Ramli berkata, buku direktori tersebut merangkumi 18 destinasi agro pelancongan di bawah kementeriannya.

“Agro pelancongan merupakan aktiviti pelancongan berkaitan sektor pertanian berasaskan tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani.

“Buku direktori ini menyediakan pelbagai tempat destinasi yang terdapat di seluruh negara bagi memudahkan pelancong melawat tempat-tempat menarik terutamanya yang melibatkan agro pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di HPPNK 2017 di Maeps, Serdang, dekat sini hari ini.

Buku direktori dan video pelancongan dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, pelancong boleh menikmati suasana kampung dan bermalam di dusun-dusun.

“Sambil bercuti mereka boleh melakukan aktiviti memancing, jungle-trekking dan aktiviti ekstrem.

“Bukan itu sahaja, aktiviti menoreh getah bersama penduduk kampung, melawat ladang Mempelan Harum Manis dan berbasikal mengelilingi kampung juga boleh dilakukan,” ujarnya.

Tambahnya, buku direktori dan video pelancongan tersebut boleh diperoleh di 32 pusat maklumat Tourism Malaysia di seluruh negara dan juga Agro Bazar di KLIA 2. - UTUSAN ONLINE