Gadis berkenaan, Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri, 18, sebelum ini menjadi tumpuan apabila bungkusan yang tertera alamat ‘Masuk Ke Dalam Sikit, Rumah Saya Kat Belakang Warna Kuning, Jerantut, Pahang’ itu tular dalam media sosial.


Di sebalik kisah itu, Nur Rabiatul Adawiyyah rupa-rupanya adalah pesakit leukemia dan dia menjual kek coklat secara dalam talian bagi menampung kos perubatannya. 


Anak kedua daripada tujuh beradik itu tidak mampu melakukan kerja berat dan hanya memcari sumber pendapatan di rumahnya di Kampung Jerantut Feri.


Nur Rabiatul Adawiyyah berkata, dia membantu ibunya, Nik Zainab Nik Zaid, 36, sejak setahun lalu menjual kek coklat. 


“Saya menggunakan medium dalam talian untuk mempromosikan kek coklat bagi menambah pendapatn setelah menerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.


“Saya ingin berdikari sendiri dan mahu mendalami ilmu kulinari namun tidak mempunyai mempunyai kelayakan kerana tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setelah menghidap leukemia sejak berusia 15 tahun,” katanya di sini hari ini. 


Katanya, di samping menampung kos perubatan, dia juga mahu mencari sumber pendapatan untuk membantu ibu bapanya menguruskan keluarga. 


“Saya perlu kuatkan semangat dan tidak mudah putus asa untuk mengejar impian menjadi usahawan kek suatu hari nanti,” ujarnya. 


Adawiyyah memberitahu, dia juga meminati bidang muzik yang menjadi pendorong kepadanya untuk mengubati kesunyian. 


“Saya ada menerima hadiah sebuah gitar daripada penyanyi, Najwa Latif pada 2015 ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). 


“Saya sangat meminati lagu-lagu Najwa dan belajar bermain gitar melalui Youtube serta berharap dapat menbuat persembahan di hadapan pesakit lain bersama Najwa,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE