DR. AHMAD IBRAHIM
DR. AHMAD IBRAHIM

Dr. Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Mat London yang berkunjung ke Utusan Online berkata, penstrukturan Finas juga perlu perubahan kerana sudah cukup masanya ketidakadilan yang berlaku di dalam Finas ditamatkan.

Beliau berkata, campur tangan politik dalam pengurusan dana Finas sebelum ini disedari tetapi tiada sesiapa yang dapat berbuat apa-apa kerana pihak terbabit sering kali mendakwa mempunyai hubungan yang baik dengan Menteri dan bekas Perdana Menteri.

“Selama ini kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa sebaliknya hanya mampu melihat bagaimana pentadbiran Finas dikawal oleh individu-individu tertentu.

“Apabila pendukung jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif di dalam Finas mengongkong dan menentukan siapakah yang layak menerima dana yang diperuntukan dalam industri kreatif, berlaku ketidak adilan di sini,” dakwanya.

Dr. Ahmad yang merupakan Sarjana Kreatif / Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor mengakui merasa bimbang dengan keadaan Finas tetapi percaya, dengan pelantikan Kabinet Pakatan Harapan (PH), sekurang-kurangnya permasalahan dalaman Finas diberi perhatian.

Walaupun menyedari pembentukan Kabinet PH masih belum diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad namun kata Dr. Ahmad, kerajaan baharu perlu dimaklumkan supaya menteri yang bakal menerajui industri seni dan kreatif nanti, sedia maklum tentang situasi semasa.

“Biar ada perubahan struktur pentadbiran Finas. Ubahlah 10 ke 15 peratus jika boleh kerana apa yang ada semalam, mesti diperkemaskan hari ini untuk esok dan seterusnya,” ujarnya.

Dr. Ahmad memberitahu, industri kreatif yang menjurus kepada pembikinan filem, bukan lagi dipandang sebagai hiburan sebaliknya, pada hematnya, filem adalah sebuah produk yang mampu untuk menjana pendapatan negara.

“Hentikan! Filem mesti dipandang sebagai sebuah produk, bukan hiburan kerana penghasilan filem boleh menyumbang kepada KDNK negara,” katanya yang turut mahu melihat, muzik diletakkan di bawah payung Finas dan sebagai industri seni dan kreatif negara. - UTUSAN ONLINE