NUR FATHIAH SOBRY

Fareeda selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili Pegawai Eksekutif Sumber Manusia syarikat itu, Nur Fathiah Sobry membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan pada prosiding sebutan kali ketiga di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Mengikut pertuduhan, Faree­da didakwa sebagai majikan lewat membayar upah kepada tiga pekerjanya, Nur Fatihah Zahar, 21, Nor Shaheera Mohd. Nor, 24, dan Nur Suhana Veera Gnnie, 26, yang sepatutnya dibayar pada atau sebelum hari ketujuh akhir tempoh upah iaitu 27 Julai 2016 yang telah melanggar peruntukan Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955.

Syarikat tersebut turut didakwa membuat potongan upah bagi bulan Mei 2016 bagi tujuan Pe­nalti Pengurangan Komisen dan Lain-Lain kepada dua pekerjanya, Nor Shaheera dan Nur Fatihah yang berjumlah RM180 iaitu berlawanan dengan peruntukan Seksyen 24 akta sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di premis syarikat tersebut di Jalan P/5, Kawasan Perindustrian Bangi, Seksyen 13, Bandar Baru Bangi, dekat sini antara 31 Mei dan 30 Julai 2016.

Pertuduhan dikemukakan me­ngikut Seksyen 91(a) dan 91(c) Akta Kerja 1955 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 99A akta serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Video Oleh NUR ATHIRAH NABILAH MUSA

Syarikat itu turut didakwa sebagai majikan telah gagal membayar upah kerja lebih masa pada hari biasa untuk Julai 2016 sepertimana pengiraan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60A(3)(a) akta sama yang terkurang bayar sebanyak RM127.89 kepada empat pekerjanya termasuk seorang warga Indonesia, Hartutik.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Nor Fathiyah Mohd. Yassin manakala OKS diwakili peguam, Nur Azimul Azami.

Pengarah Urusan Fareeda, Mawar Abdul Karim iaitu isteri kepada pelakon, Fizo Omar bagaimana­pun tidak hadir ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan 23 dan 24 April ini untuk perbicaraan.