Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemahaman tentang RUU 355 penting bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan di antara rang undang-undang itu dengan ‘hukum hudud’ sehingga menimbulkan banyak bantahan terma­suk dalam kalangan Ahli Parlimen daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri berhubung perkara tersebut.

Jelas beliau, RUU 355 bukan hukum hudud kerana undang-undang ini sudah sedia ada dan pertama kali dibentangkan pada 1984.

“Dalam perkara ini, kita (kerajaan) ingin memperjelaskan bahawa RUU 355 bukanlah undang-undang yang mempunyai dualisme (pecahan) antara undang-undang sivil dan syariah.

“RUU 355 adalah undang-undang syariah yang tidak akan mengambil alih sebarang kuasa yang ada pada mahkamah sivil dan ia tidak akan dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam hal ini, beliau mohon masyarakat Islam memahami tujuan rang undang-undang persendirian itu dipinda terlebih dahulu walaupun ada yang berbeza fahaman politik.


Video oleh MD. AZRIN ROSLY

Bagi masyarakat bukan Islam pula, ujar beliau, penjelasan akan dilakukan jika ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan tindakan diambil agar RUU 355 tidak menim­bulkan kekeliruan apabila tiba masanya dipinda nanti.

Katanya, pindaan RUU 355 hanya bertujuan menaik taraf mahkamah syariah yang pada hakikatnya ber­ada di kedudukan agak rendah daripada segi skim perkhidmatan.

“Ambil contoh skim perkhidmatan hakim-hakim di mahkamah rendah atau mahkamah tinggi syariah, ia jauh rendah berbanding mahkamah sivil. Jadi, kita (kerajaan) akan mohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar skim ini dipertingkatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, tidak timbul soal undi untuk menyokong atau tidak rang undang-undang persendirian ini kerana ia tidak akan dibahas dan diundi dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, memandangkan sebarang pindaan perundangan adalah dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan.