Video oleh HASNURUL MOHAMED

Eloisa atau nama pentasnya, Ezza, 28, amat bernasib baik kerana komposer terkenal tanah air, Fauzi Marzuki mencipta sebuah lagu berjudul Cinta Ternoda untuk dijadikan sebagai single pertama Ezza.

Lirik ditulis oleh Sham Amir Hussain, Cinta Ternoda merupakan tiket untuk Pengarah Urusan Padi Records, Ayob Majid untuk terus bertapak dalam industri muzik Indonesia dan sekali gus memperkenalkan pula nama Ezza Dartuin kepada penggemar muzik di negara jiran itu.

Pada majlis pelancaran single Ezza yang disempurnakan oleh Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah AlHaj, satu majlis menandatangani perjanjian pengedaran digital Cinta Ternoda oleh Luncai Emas diadakan.

Ini diikuti dengan persembahan Ezza yang menyampaikan tiga buah lagu termasuk single pertamanya itu.

Usai persembahan, bercakap kepada wartawan, Ayob memberitahu, Ezza mempunyai kontrak dua tahun bersama Padi Records.

"Usia Padi Records baharu mencecah dua tahun dan sebagai label kecil-kecilan, kami membawa masuk bakat dari luar negara untuk menyanyikan lagu Melayu.

"Peminat di Indonesia suka penyanyi yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Melayu tetapi dapat menyanyikan lagu Melayu.

"Buktinya, Amy Farra mendapat sambutan baik di Indonesia," kata Ayob.

Menurut Ayob yang 25 tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, melihatkan keadaan industri muzik tanah air yang semakin mengecut, beliau perlu melakukan sesuatu di luar kotak untuk terus menghidupkan label yang diusahakannya dan tidak mematikan industri muzik Malaysia.

Sementara itu, komposer Fauzi Marzuki berkata, beliau mahu hasil karyanya hidup walaupun lagu cipaannya tidak dinyanyikan oleh penyanyi atau bakat tempatan.

"Saya masih berkarya dan saya tahu ramai komposer yang lahir hari ini sehinggakan penyanyi tempatan tidak memandang lagu ciptaan saya.

"Bagi saya, Ezza berjaya menyampaikan lagu ciptaan saya dengan baik," kata Fauzi.

Fauzi berkata, Ezza tidak menghadapi masalah sepanjang merakamkan Cinta Ternoda di studio rakaman kerana Ezza mempunyai pendedahan sebagai penyanyi kelab di negara asalnya. - UTUSAN ONLINE