Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Put­ra (PWTC) di sini, hari ini.

Pelakon dan usahawan, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 22, menerima anugerah kategori seni manakala Siti Bainun Ahmad Razali penerima kategori khas.

Penerima lain ialah atlet memanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, 25, (kategori sukan); usahawan tudung, Sofia Ahmad, 32, (kategori keusahawanan) dan pensyarah, Engr B. Noreman D. Pagukuman, 28.

Menurut Nurul Elfira, anugerah itu memberi suntikan sema­ngat kepadanya untuk bertemu golongan muda dan berkongsi pengalaman dengan mereka.

“Pendidikan dan usaha keras perlu bergerak seiring dalam semua bidang yang diceburi kerana cabaran dunia hari ini tidak lagi sama seperti dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut.

Sementara itu, Siti Bainun yang juga Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ampang memberitahu, beliau sentiasa menggunakan laman sosial se­perti Facebook dan Instagram bagi menggalakkan golongan muda untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Saya memang memerlukan ramai sukarelawan daripada generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan kerana ramai golongan kurang bernasib baik memerlukan sokongan dan bantuan untuk menikmati hidup lebih baik.

“Saya mengakui apabila terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan saya tidak mempunyai ramai kenalan tetapi gembira kerana dapat bertemu dengan golongan yang betul-betul ikhlas,” katanya.