Menurut Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, kebiadaban seperti itu hanya akan dapat dihentikan dengan tindakan tegas oleh pihak berwajib.

Abdul Rani menegaskan, jika dalang kebiadaban itu tidak dikenakan tindakan tegas dan gejala berkenaan tidak dihalang daripada terus berlaku, dibimbangi ia akan menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

"Walaupun Malaysia mengamalkan kebebasan beragama, tindakan (mengedarkan Injil kepada  murid sekolah) ini amat melampau dan menjejaskan sensitiviti kaum.

"Pihak berwajib agama setiap negeri serta Kementerian Pendidikan perlu memantau dan bertindak tegas bagi menghalang kebiadaban seperti ini daripada terus berlaku," katanya kepada media selepas membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada petang ini.

Abdul Rani membuat laporan polis terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran kitab Injil kepada murid sekolah itu.

Laporan polis terhadap kes yang sama turut dibuat oleh Presiden Persatuan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsa AllavPitchay.

Kegiatan mengedar kitab Injil kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam itu terbongkar selepas ia tular di media sosial baru-baru ini.

Kegiatan tersebut disahkan berlaku oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof.

Mujahid berkata, sejurus perkara berkenaan tersebar, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Jabatan Pendidikan negeri serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk kesahihan.

Susulan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) telah memulakan siasatan berhubung kes berkenaan dengan kerjasama polis dan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE