Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ECRL adalah seperti mana projek transit aliran massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang yang membuatkan rakyat percaya kerajaan mampu dan menyediakan kemudahan pengangkutan awam bertaraf dunia.

Menyifatkan projek mega itu sebagai ‘penukar permainan’ dan ‘penukar minda’, beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba menggagalkan pelaksanaannya walaupun bermanfaat besar kepada rakyat dan negara.

“Saya ingin memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod yang mengagumkan dan akan menunaikan janjinya. Pelaksanaan projek MRT adalah bukti terbaharu.

“Menerusi sokongan berte­rusan rakyat, insya-Allah kita dapat menyaksikan projek ECRL pada 2024 seperti dijanjikan atau lebih awal lagi,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis pecah tanah projek ECRL di Kotasas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Se­rigar Abdullah yang juga Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan Pengarah Eksekutif Kotasas Sdn. Bhd., Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim.

Turut serta, Menteri Pe­ngangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Nancy Shukri; Ahli Majlis Negeri China, Wang Yong selaku wakil khas Presiden China, Xi Jinping; Pengerusi China Communications Construction Groups Ltd., Liu Qitao, pegawai kanan China serta pemegang berkepentingan projek itu.

Menggunakan slogan ‘Me­nyatu Kehidupan, Memacu Pertumbuhan’, pembinaan ECRL menghubungkan Lembah Klang dengan negeri ini, Terengganu dan Kelantan selari dengan inisiatif kerajaan menaik taraf pe­ngangkutan awam di luar bandar.

Najib berkata, projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu mendapat sokongan 95 peratus daripada 17,000 responden ha­sil kaji selidik yang dijalankan selama tiga bulan.

Tegasnya, kepentingan rak­yat diutamakan termasuk menerusi perjanjian dengan China bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus kontraktor Malaysia terlibat, selain menyediakan pelatih menerusi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) untuk bekerja de­ngan ECRL.

“Projek ECRL membawa kesan ekonomi dan impak sosial positif bagi negeri-negeri di Pantai Timur sekali gus menjadi pemangkin kesaksamaan ekonomi dengan Pantai Barat.

“Ini kerana ia merangsang pe­laburan, aktiviti komersial, me­wujudkan peluang pekerjaan, memudahkan pendidikan berkualiti dan meningkatkan pelancongan,” ujar beliau.

Tambah Najib, ECRL bakal menjadi pengangkutan yang selesa, dengan perjalanan dari terminal pengangkutan bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dijangka kurang empat jam berbanding purata tujuh jam.

Kata beliau, jajaran ECRL turut menggalakkan pemba­ngunan kawasan perindustrian dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) terutama di bandar-bandar yang menjadi stesen perhentian.

“ECRL menghubungkan Wi­la­yah Ekonomi Pantai Timur (ECER) seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Halal Gambang di Pahang, Taman Biopolimer Kerteh (Terengganu) dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali di Kelantan.

“Dianggarkan 5.4 juta penumpang dan 53 juta tan kargo akan menggunakannya setiap tahun menjelang 2030,” kata­nya.