Menurut Sabri, 54, beliau tidak berharap mendapat pengiktirafan MOBR sebagai Penjalan Kaki Solo Paling Jauh dengan merentasi 14 negeri dalam tempoh 55 hari, tetapi mahu memperkenalkan keistimewaan madu kelulut kepada orang ramai.

Dalam masa sama, pengambilan madu kelulut diakui banyak membantu bapa kepada tujuh anak ini lebih bertenaga sepanjang melengkapkan misi berjalan kaki tersebut.

“Sejak mengamalkan pengambilan madu kelulut tiga tahun lalu, saya menjadi lebih aktif dan membantu menjadikan tempoh masa perjalanan di setiap lokasi menjadi singkat.

“Saya tidak mengalami sebarang masalah termasuk sakit kaki atau jari melecet sepanjang misi ini,” katanya ketika ditemui selepas melengkapkan misinya di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Camar Laut, di sini hari ini.


Video oleh ABD. RAZAK AID

Selain ahli keluarga dan sahabat handai, ketibaan beliau juga di­sambut Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Pada majlis itu, Sabri mene­rima sijil pengiktirafan MOBR sebagai Penjalan Kaki Solo Paling Jauh yang disampaikan oleh wa­kil MBOR, Norashikin Ramli.

Sabri memulakan misi berjalan kaki di 14 negeri bermula dari Taman Botani Negara Shah Alam pada 8 Oktober lalu dan berakhir di sini.

Program yang bertujuan mempromosi khasiat madu kelulut itu diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 yang berlangsung di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang yang bermula hari ini hingga 11 Disember ini.