Seorang pengusaha dan penjual durian durian di Raub, Panang, Ibrahim Kasim berkata, ketika ini dengan pengeluaran dua peratus sahaja di daerah tersebut sebanyak 3,000 bakul durian jenis musang king diperolehi dan dijual setiap hari.

Justeru, tidak hairan fenomena raja buah murah yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini berlaku di seluruh negara.

"Sekarang ini pengeluaran dan pengedaran buah durian berlaku di Perak, Melaka, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang.

"Kalau seluruh negeri mengelurkan durian sebanyak 50 peratus sehari maka penjualan durian murah sebakul akan berlaku kepada jenis tertentu tahun ini. Perkara ini pernah berlaku sebelum ini," kata Ibrahim mengulas video viral kononnya durian musang king dijual RM20 sebakul.

Menurut beliau, video viral tersebut kemungkinan sengaja dilakukan dengan niat untuk berseronok oleh pihak tertentu yang teruja dengan lambakan buah durian yang boleh dibeli dengan harga yang murah kini berbanding musim lepas.

Kata Ibrahim, musang king tidak mungkin akan dijual serendah RM20 sebakul kerana raja buah jenis itu mempunyai permintaan yang tinggi di luar negara. Musang king mempunyai pasaran tinggi di China, Taiwan, Singapura, Australia dan Poland.

Tinjauan Utusan Online di Raub dan Bentong mendapati pusat pengumpulan peraih Look Foo Trading, Sungai Klau, Raub sudah mula penuh sejak jam 7 pagi lagi. Ladang durian di daerah itu dianggarkan seluas 10,000 ekar.

Sebanyak tiga ribu bakul musang king gred A sehari dikumpul dan dijual di pusat tersebut sejak dua minggu lalu.

Budah-buah durian di hantar dari dusun-dusun kawasan sekitar sehingga sejauh 15 kilometer di Sungai Kelau, Felda Lembau Kelau dan Sungai Chalit.

"Durian yang dikumpul di sini terdiri daripada 15 jenis termasuk musang king, IOI, udang merah, D24, durian kahwin dan durian kampung.

"Buat ketika ini harga buah turun. Musang king gred A dijual RM28 sekilo. Gred B kita jual RM18 sekilo. Durian kampung kita jual RM7 sekilo, semua jual ikut kadar kilo," jelas Ibrahim.

Tinjauan mendapati harga untuk musang king sebelum ini adalah bermula RM 40 hingga ke RM 120 sekilogram. Durian dijual mengikut gred. Ini termasuk buah gred C yang diguna untuk membuat tempoyak, ais krim dan krim kecantikan.-UTUSAN ONLINE