Video oleh AZLAN BAHRUM

Ishak Awi, 59, yang kudung kedua-dua belah kaki di samping cacat tangan kiri sejak lahir berkata, Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 amat bermakna buat golongan sepertinya dan ditunggu-tunggu saban tahun namun, impiannya musnah apabila dimaklumkan tidak memenuhi kelayakan ditetapkan.

Dia yang cuma bekerja sebagai pembantu di kedai membaiki kasut di bazar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berdekatan hentian bas KT berharap agar nasib malang mereka mendapat pembelaan kerajaan termasuk jumlah bantuan dikekalkan seperti dahulu.

"Daripada mula BR1M diperkenalkan saya sokmo buleh dapat RM450.

"Saya harap biar buleh belaka semua (golongan), buat macam Najib buat dulu. Tetapi, nak cakap lebih-lebih pun payah juga," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ishak merupakan kalangan rakyat yang kecewa dengan proses pendaftaran dan kemaskini permohonan BSH 2019 apabila

dimaklumkan tidak layak menerima manfaat tersebut sebagaimana dipaparkan dalam muka hadapan Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Ishak datang ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini bagi menyemak status kelayakan bagi memohon bantuan kategori bujang.

Ishak berkata, jumlah RM100 terlalu kecil buatnya dan hanya mampu bertahan untuk menampung kos tambang bas selama sebulan berulang-alik ke rumahnnya di Kampung Tanjung, Batu Rakit yang memakan masa hampir 40 minit ke bandar raya.

"Kos tambah pergi balik setiap hari sebanyak RM3.20. Saya membantu menjual tapak kasut di kedai majikan. Gaji tidak tetap kalau dapat jual buleh lah dapat RM15 ke RM20 untuk sepasang tapak," katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini turut berkongsi gambar Ishak dalam laman Facebooknya yang mendapat tanda suka 33,000 dengan 4,700 komen di samping 4,400 perkongsian. - UTUSAN ONLINE