Dalam video berdurasi 11 saat itu, seorang penunggang dilihat mengawal lalu lintas dengan memberikan isyarat tangan kepada pengguna jalan raya lain sementara seorang lagi rakannya berlari ke tengah lebuh raya sebelum menarik span tersebut ke tepi jalan.

Tindakan pantas dan bertanggungjawab penunggang motosikal berkenaan secara tidak langsung membantu mengelakkan daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini selepas longgokkan span itu dilihat menghalang lalu-lintas terutama di laluan paling kanan.

Rakaman berkenaan sudah ditonton lebih 12,000 kali dan dikongsikan lebih 100 kali oleh pengguna media sosial Facebook.

Video dari Facebook WAN MSTR

Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Ana Hanna berkata, biarpun penunggang motosikal sering dikaitkan dengan imej negatif ‘mat rempit’, tindakan dua individu berkenaan wajar diberikan penghargaan.

“Gadai nyawa tetapi apa yang dia buat demi keselamatan org lain... Kenderaan lajunya kecut perut tengok tadi. Syukur semua mereka selamat, semoga perjalanan mereka dalam lindungan Allah,” katanya.

Dalam pada itu, tindakan dua individu tersebut turut mendapat perhatian Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi.

“Mohon informasi tiga orang geng motosikal Yamaha Y15 ini. Mesej secara peribadi kepada saya termasuk kameraman sekali. Saya hendak beri hadiah kerana mereka berani selamatkan nyawa saudara (pengguna jalan raya) lain.

“Ini semangat persaudaraan yang tinggi, kita tabik mereka,” katanya menerusi akaun Facebooknya malam tadi. - UTUSAN ONLINE