Dr. Vida berkata, hubungannya dengan Ahmad Iqbal, 23, semata-mata atas dasar profesional antara seorang majikan dengan pekerja.

“Saya nak keberkatan dalam hidup, saya tak nak gosip-gosip ini menyebabkan orang yang mengutuk saya dapat dosa dan saya saja dapat pahala. Saya nak biarlah kita sama-sama dapat pahala.

“Saya harapkan dengan penjelasan ini, netizen hentikan tohma­han dan cacian terhadap saya se­perti kata-kata, saya tak serik-serik, gatal, tak sedar diri dan bila ada lelaki rapat dengan saya mesti sebab nak harta saja,” luahnya kepada Utusan Malaysia di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Dr. Vida sebelum itu mengucapkan selamat jalan kepada sekumpulan anak tahfiz dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Perjalanan anak-anak tahfiz dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Hujung Keramat, Kuala Lumpur yang terbakar pada 20 September lalu ke Ta­nah Suci itu dibiayai sepenuhnya oleh Dr. Vida sebagai janji yang dibuatnya sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai spekulasi hubungan cintanya dengan Ahmad Iqbal, Dr. Vida berkata, akibat penyebaran beri­ta tersebut, hati ahli keluarga khususnya anak-anaknya, Cik B dan Kacak terganggu termasuk emosi emak Iqbal, Maznuni Che Yusof, 49.

“Saya minta maaf di atas kekecohan ini. Mungkin sebab saya berdiam diri, jadi kisah itu menjadi semakin tular. Saya harus hentikan cerita ini. Sebenarnya tidak ada apa pun antara saya dan Iqbal.

“Saya perlu buat satu penjelasan agar tiada lagi salah faham tentang hubungan kami dan saya perlu tukarkan Iqbal ke bahagian lain iaitu pemasaran. Biarlah dia buatlah pemasaran untuk Pamoga, tak payah buat kerja lain,” tegas Dr. Vida.

Sementara itu, Ahmad Iqbal, 23, berkata, kekeliruan yang tercetus mengenai hubungannya de­ngan Dr. Vida tercetus memandangkan dia tidak memberi penjelasan yang tepat sebelum ini.

“Saya tidak boleh memberi jawapan kerana ketika itu Datuk (Dr. Vida) sedang umrah. Banyak berita dan khabar angin memberitahu yang mak saya merestui, sebenarnya apa yang dijawab oleh mak saya, soal jodoh itu ketentuan Tuhan dan dia tidak dapat beri penjelasan tentang itu.

“Kebetulan, saya pula jenis terbuka dan sebab itulah saya kata soal jodoh itu ketentuan Tuhan. Kita hanya berusaha yang terbaik dan saya tidak pernah kata, saya miliki dia. Saya tidak kata juga kalau dia bukan jodoh saya. Semua itu berserah kepada takdir dan saya hanya menjaga amanah. Apa pun saya teruk dikecam kerana banyak segmen yang tidak jelas,” akuinya.

Ahmad Iqbal turut menegaskan, dia bukanlah lelaki seperti yang didakwa oleh netizen iaitu ingin menumpang kekayaan atau populariti Dr. Vida semata-mata, sebaliknya, dia hanya melaksanakan tugas sebagai pembantu peribadi.