Jelas Dr. Vida, dia perlu membuat persiapan rapi untuk single baharu demi menampakkan kelainan daripada I Am Me yang mendapat lebih 10 juta tontonan di YouTube.

“Tunggu...Saya akan muncul dengan satu single baharu tapi sebelum itu saya kena tengok waktu yang sesuai, takut ‘berlaga’ dengan artis lain pula. Bila sudah ada tarikh yang sesuai, saya akan beritahu kelak. Mungkin dalam tempoh sebulan lebih lagi.

“Sudah ada lagu ciptaan beberapa orang komposer. Mereka buat lagu itu ikut kesesuaian vokal saya kerana saya bukanlah penyanyi seperti orang lain. Saya ada berbincang dengan Hazami untuk mengikuti kelas vokal di bawah bimbingannya, tapi saya pula yang belum ada waktu untuk pergi,” katanya.

Jelas Dr. Vida, dia perlu memperbaiki kelemahan diri dari segi vokal kerana kejayaan lagu I Am Me. Katanya, kalau boleh dia mahu menyanyi secara langsung di hadapan penonton dan tidak lagi miming.

Meskipun gembira kerana lagu ciptaan Edry itu ditonton ramai di YouTube tapi Dr. Vida terkilan kerana lagu berkenaan tidak mendapat tempat di stesen radio.

“Saya bersyukur sebab lagu itu mendapat sambutan luar biasa dan jadi viral hinggakan anak-anak juga turut menyanyi. Lagu itu pergi (populariti) tidak seperti yang saya harapkan, sayang sungguh sebab nak dapat lagu seperti ini umpama satu dalam seribu.

“Saya rasa ada yang tak kena di mana-mana tu. Lagu ini tidak pergi kepada tahap yang saya harapkan. Biarpun sedikit kecewa tapi saya tak akan murung sepanjang waktu, sebab ada sesetengah lagu tu sampai setahun baru meletup balik. Inilah masanya untuk saya terus mempromosi lagu tersebut,” katanya.

Melihat kepada senario tersebut, Dr. Vida yakin klip video I Am Me yang turut memuatkan seni kata bahasa Korea itu boleh diterima di luar negara jika dipromosi secara hebat lagi kerana jelasnya, lagu tersebut didengar di 177 buah negara.

“Lirik bahasa Korea disertakan kerana saya mendapat banyak reaksi daripada orang di sana. Selain Korea, saya turut mendapat maklum balas daripada orang di negara Timur Tengah dan Britain. Saya macam tak percaya tapi saluran YouTube membuktikan semuanya,” ujarnya.

Dr. Vida yang sering membaca komen-komen daripada netizen berkata, sebagai orang yang berfikiran positif, dia jarang untuk mengambil serius kritikan negatif kerana jika diturutkan hatinya akan merana.

Sebagai orang baharu dalam bidang seni suara, dia berharap peminat tempatan memberi sokongan kepada single I Am Me agar lagu dendangannya itu disiarkan di corong radio. - UTUSAN ONLINE