Beliau yang memakai baju Melayu hitam dan bersamping songket hitam keemasan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara di sini.

Dr. Mahathir, pertama kali dilantik menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Berumur 92 tahun, Dr. Mahathir mencipta sejarah lagi menjadi Perdana Menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.

Upacara istiadat pada kira-kira 10 malam itu disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif.

Isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali duduk di sebe­lahnya di majlis itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pre­siden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAN, Moha­mad Sabu merupakan pemimpin Pakatan Harapan yang hadir.

Seri Paduka kelihatan bersalaman dengan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah sebaik sahaja memasuki ke majlis itu di Singgahsana Kecil sebelum mengambil tempat baginda bersemayam.

Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan ba­ginda, Dr. Mahathir menandata­ngani dokumen tersebut.

Di luar istana, ia bagaikan pesta apabila kalangan rakyat pelbagai kaum dan peringkat umur berkumpul sejak petang lagi bagi meraikan pelantikan Dr. Mahathir yang dilihat dapat membawa harapan baharu kepada rakyat dan negara.

Rakyat bertepuk tangan sebaik sahaja selesai majlis itu yang di­siarkan secara langsung.

Mereka kelihatan begitu gembira menyambut pembentukan Kerajaan Pusat yang baharu de­ngan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera parti.

Mereka turut menyanyikan lagu kebangsaan dan patriotik beramai-ramai serta melaungkan slogan ‘Hidup Tun’, ‘Hidup Rak­yat’ dan ‘Reformasi’.

Keadaan itu turut menarik perhatian pelancong asing.

Pada PRU-14 semalam, Pakatan Harapan memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu. – BERNAMA