Berkata kepada Utusan Online, Alfie bagaimanapun enggan netizen membuat sebarang spekulasi negatif tentang hubungannya dengan Alyah kerana menganggap rezeki tidak menyebelahinya untuk menjalin kerjasama.

"Hubungan saya dengan Kak Alyah masih baik seperti dahulu. Tindakan saya menyanyikan sendiri lagu ini kerana tidak mahu karya ini basi memandangkan sudah empat tahun dihasilkan.

"Mungkin Kak Alyah sudah ada perancangan lain. Lagipun masa itu dia juga ada buat lagu sendiri dan teruja untuk menyanyikan karya ilhamnya," ujar Alfie memberi penjelasan.

Pun begitu, menurut Alfie, di sebalik yang berlaku, ada hikmah yang diperolehnya selepas membuat keputusan untuk kembali aktif menyanyi.

Katanya, Sedikit Waktu dikeluarkan tepat pada waktunya memandangkan dia bakal menyambut ulang tahun kelahirannya pada April ini.

Tambahan pula, karya tersebut semakin menjadi siulan ramai setelah dipilih sebagai lagu tema bagi drama bersiri Tiada Arah Jodoh Kita yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

"Perancangan Allah itu adalah yang terbaik. Peluang ini ibarat hadiah sempena hari jadi saya tidak lama lagi.

"Selepas 12 tahun berada di dalam industri, saya tidak sangka akan kembali menyanyi setelah selesa berada di belakang tabir sebagai komposer," katanya yang pernah menyertai Mentor musim kedua pada 2006 sebagai protege kepada Zaf VE.

Tambahnya, dalam menyuntik keunikan terhadap melodi Sedikit Waktu, dia menyelitkan bunyi gesekan instrumen tradisional bangsa Cina yang dinamakan Erhu.

Justeru, Alfie berharap nukilannya itu dapat memberi nafas baharu dan segar terhadap komposisi muzik tempatan. - UTUSAN ONLINE