Kebanyakan gadis sunti yang dijual ini berusia antara 12 dan 16 yang melarikan diri daripada kekejaman junta tentera di Myanmar.

Gadis-gadis yang dijual ini biasanya hidup sebatang kara, sama ada ibu bapa dan keluarga mereka telah mati dibunuh atau yang mahu ke Malaysia untuk menyertai keluarga mereka yang sudah terlebih dahulu berada di negara ini.

Hasil daripada penyiasatan wartawan Utusan Online mendapati pada usia antara 12 hingga 16 tahun, gadis-gadis sunti Ro­hingya ini melarikan diri daripada dirogol dan diseksa di Rakhine, Myanmar, tetapi akhirnya dijual di Malaysia oleh sindiket pemer­dagangan manusia.

PENGERUSI Persatuan Islam Untuk Kemajuan Rohingya di Malaysia (Unirod), Muhammad Islam menunjukkan
PENGERUSI Persatuan Islam Untuk Kemajuan Rohingya di Malaysia (Unirod), Muhammad Islam menunjukkan gambar pasangan warga Rohingya yang mana pengantin perempuannya merupakan seorang gadis di bawah umur. - UTUSAN ONLINE

Seorang gadis berusia 14 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Rubi ketika ditemui di Gombak berkata, dia dijual de­ngan harga RM2,000 oleh sindiket tersebut kepada seorang lelaki sebangsanya untuk dijadikan isteri. Sebaik sahaja berkahwin, dia dibawa ke Pahang.

“Ayah saya membayar sindiket RM3,000 untuk membawa saya dari Rakhine ke Malaysia pada 2015 ketika saya berusia 12 tahun.

“Namun, apabila sampai di sini, mereka memaksa saya berkahwin dengan lelaki tersebut. Jika saya tidak mahu, mereka mengugut akan menjual saya kepada sindiket pelacuran,” cerita Rubi.

Rubi hanya berjaya menemui semula keluarganya selepas lapan bulan berkahwin.

Ayahnya kemudian membawa Rubi lari ke Kuala Lumpur. Selain Rubi, dua mangsa lain iaitu Khatu dan Rashidah turut mendedahkan pengalaman hitam mereka dijual sebagai pengantin sejurus tiba di Malaysia ketika mereka masih di bawah umur.

“Saya tidak ada pilihan melainkan naik kapal yang disediakan oleh sindiket dengan membayar sedikit wang.

“Tiba di kawasan sempadan, saya ditahan sehingga ada lelaki membeli saya untuk dijadikan isteri,” cerita mereka.

Beberapa aktivis Rohingya yang ditemui memberitahu, tahun 2012 hingga 2015 merupakan kemuncak sindiket pemerdaga­ngan manusia melibatkan gadis-gadis Rohingya.

Menurut Pengasas Jaringan Pembangunan Wanita Rohingya (RWDN) Sharifah Shakirah Husin, gadis-gadis tersebut dijual dengan harga RM2,000 hingga RM8,000.

“Tahap pendidikan pelarian ini rendah dan tiada keluarga untuk membantu, menjadikan nasib kanak-kanak perempuan ini bergantung sepenuhnya kepada agen sindiket yang membawa mereka masuk ke negara ini,” kata Sharifah Shakirah yang berjaya mengesan kira-kira 50 kes gadis sunti Rohingya terutama yang di bawah umur dijual sebagai pe­ngantin di sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Islam Untuk Kemajuan Rohingya di Malaysia (Unirod), Muhammad Islam berkata, selepas penemuan kubur dan kem pemerdagangan manusia di kawasan sempadan Malaysia-Thailand pada 2015, harga gadis sunti Rohingya kini meningkat sehingga RM18,000.

“Penguatkuasaan di jalan laut dan darat telah diperketatkan. Justeru, gadis-gadis ini dibawa ke Bangladesh terlebih dahulu. Dari sana, mereka akan memperoleh dokumen termasuk pasport.

“Apabila semua lengkap, mereka akan menaiki kapal terbang dari Bangladesh ke Malaysia. Semua urusan ini menyumbang kepada peningkatan harga,” jelasnya.