Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Fazlisyam Abd Majid berkata, video yang berdurasi selama 1.07 minit itu menjadi tular di laman sosial dan WhatsApp yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki dipaksa oleh seorang lelaki untuk memanggil ibunya.

Katanya, setakat ini, tiada laporan polis diterima mengenai kejadian cubaan culik kanak-kanak di Terengganu dan laporan polis yang dibuat oleh seorang bapa pula didapati berpunca daripada perselisihan faham hingga menyebabkan isterinya membawa keluar tiga anak mereka dari rumah.

"Pihak polis juga telah memanggil bapa tersebut dan beliau telah mengesahkan bahawa kanak-kanak dalam video yang tular itu bukanlah anaknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius tindakan setengah pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan video tersebut dan orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan berita tidak benar yang ditularkan di media sosial. - BERNAMA