Video oleh NURFARAHIN HUSSIN

Tinjauan Utusan Online mendapati, laluan ke Dataran Merdeka daripada Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan sebahagian Jalan Tun Perak sudah mula ditutup sejak pukul 10 malam tadi.

Beberapa anggota polis trafik juga ditempatkan di laluan berkenaan bagi memastikan ruang berhimpun di Dataran Merdeka tidak diganggu atau dimasuki orang awam.

Turut kelihatan, pihak penganjur sedang melakukan persiapan dengan memasang khemah serta pentas yang akan digunakan pada perhimpunan akan dihadiri ratusan ribu peserta dari seluruh negara.

Para peserta perhimpunan dijadualkan mula membanjiri Dataran Merdeka bermula pukul 2 hingga 6 petang.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan pihak penganjur menggunakan Jalan Raja iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi perhimpunan.

Permohonan yang diterima terdiri daripada Muafakat (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia), Ummah (Gerakan Pembela Ummah) dan Daulat (Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia) pada 27 November lalu.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka tetap diteruskan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran. - UTUSAN ONLINE