Pengarah Operasi Jeddah 1438 Hijrah, Mohamad Zamry Mohd. Noor (gambar) berkata, langkah itu membolehkan pro­ses ketibaan jemaah haji Malaysia lebih mudah dan cepat kerana jemaah dari negara lain masih lagi belum tiba.

“Di sini saya dapati, keadaan di lapangan terbang lebih selesa, tidak ramai jemaah haji dari negara lain yang tiba awal. Itu satu ke­lebihan bagi jemaah haji Malaysia yang tiba di Jeddah ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di Pusat Pengurusan Operasi Jeddah di sini hari ini.

Jelasnya lagi, melalui langkah itu jemaah Malaysia tidak perlu bersaing dengan jemaah negara lain dan Petugas Tabung Haji juga mudah menguruskan mereka, termasuklah melepasi pemeriksaan imigresen.

“Proses mengambil bagasi juga dilakukan dengan mudah, selain tempoh mengurus juga pendek. Tahun lalu, keadaan bersesak sedikit kerana jadual penerba­ngan yang tiba lewat dan hampir dengan hari Wukuf. Tahun lalu, Tabung Haji mengambil masa lima hingga enam jam, tetapi pada tahun ini proses itu dapat dipendekkan antara dua hingga tiga jam sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pi­haknya dipertanggungjawabkan menyambut ketibaan 64 penerbangan  dari Malaysia.

“Sehingga kini kita telah menerima 14 pe­nerbangan melibatkan lebih 5,000 jemaah. Keseluruhan jumlah penerba­ngan akan tiba sehingga 26 Ogos ini,” beritahunya.

Mohamad Zamry menjelaskan lagi, pihaknya juga telah meminta pasukan operasi haji di tanah air membuat tampalan kad ketibaan ketika di Malaysia lagi.

Dari segi kesihatan pula, kata beliau, jemaah yang telah mendapat suntikan tidak menghadapi masalah melepasi pemeriksaan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

“Tidak ada jemaah haji kita yang ditahan disebabkan masalah suntikan meningitis iaitu suntikan wajib oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya. – UTUSAN