Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim memaklumkan, api yang tercetus akibat nyalaan petrol dan pelepasan gas dua buah silinder gas petroleum cecair (LPG) di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat tiga pusat tahfiz itu menyebabkan mangsa yang sedang tidur maut dalam tempoh singkat.

Katanya, penemuan 20 mayat mangsa kebakaran di samping tiga yang lain secara berhimpit-himpit di sudut kanan dan kiri bilik asrama tersebut menunjukkan mereka semua terperangkap akibat api marak dengan begitu cepat.

‘‘Perbuatan khianat itu bermula apabila nyalaan api tercetus melalui petrol yang dicurahkan pada rak kasut, tuala dan din­ding sehingga menye­babkan kebaka­ran merebak ke siling termasuk pintu masuk bilik asrama tingkat tiga tersebut.

“Petunjuk utama yang berjaya mengaitkan kes tersebut de­ngan perbuatan khianat dikesan adalah menerusi hasil analisis ujian sampel oleh pegawai kimia di Makmal Penyi­asatan Kebakaran Kuala Lumpur yang mendapati terdapat baki sisa petrol,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Nor berkata, pihaknya mendapat petunjuk mengenai kes tersebut kira-kira pukul 1 petang pada hari kejadian selepas mendapati terdapat em­­pat sampel mengandungi sisa baki cecair mudah menyala jenis petrol dalam sampel yang dianalisis.

“Pada masa sama, hasil siasatan pihak JBPM menemui dua buah silinder LPG di hadapan pintu masuk bilik asrama di tingkat tiga pusat tahfiz itu.

‘‘Kedua-dua silinder gas berwarna hijau berbe­lang merah itu te­lah kosong dan injapnya berada da­lam keadaan terbuka,’’ ujarnya.

Tambah Wan Mohd. Nor, Unit Pengesan (K9) turut mengesan seba­nyak tujuh tempat mempunyai sisa sampel berkenaan.

“Empat ekor anjing telah digunakan dan kesemua­nya menunjukkan ke tempat yang sama,” jelasnya.

Jelasnya, hasil siasatan punca kebakaran itu juga selari dengan keterangan saksi dan mangsa yang terselamat.

“Keterangan itu disokong dengan terdapatnya kesan kebakaran di hadapan pintu masuk bilik asrama tersebut seperti kesan mengelupas pada dinding dan kehilangan jisim pada pintu, siling, almari serta rak kasut di tempat itu,” katanya.

Ditanya mengenai terdapat laporan bahawa pintu masuk ke bilik asrama itu disendal dengan spanar, beliau menafikan perkara tersebut.

Sementara itu, mengenai operasi menyelamat pada hari kejadian, Wan Mohd. Nor berkata, sebanyak 43 anggota dan 17 pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Tun Razak, BBP Wangsa Maju dan BBP Hang Tuah telah dikerahkan untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Beliau berkata, kebakaran yang menyebabkan 23 orang terkorban membabitkan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar itu berjaya dikawal pada pukul 6.29 pagi iaitu kira-kira 50 minit selepas kejadian.