Aminurzaliah Abdullah Thani, 41, berkata, beliau masih lagi tidak percaya dengan kemenangan tersebut dan tidak sabar untuk membawa pulang kereta yang disifatkan sebagai ‘kereta raya.’

“Alhamdulillah, memang rezeki, lagi pula dah dekat nak raya, saya anggap ia sebagai ‘kereta raya’ tahun ini.

“Saya tak sabar nak pandu pulang kereta baru ini kerana sebelum ini pun saya beli kereta terpakai sahaja, jadi sudah pasti saya sangat teruja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena majlis penyerahan kunci kereta Peraduan #UMenangsakan Bonanza Edisi ketiga (Akhir) di perkarangan Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Penyerahan kunci oleh Ketua Pemasaran Digital dan Majalah, Ludfi Mohamed.

Tambahnya, sebagai pembaca setia Utusan Malaysia, beliau mahu program ini diteruskan untuk masa akan datang sebagai penghargaan buat para pembaca di samping memberi peluang kepada orang lain untuk merasai kemenangan hadiah lumayan sepertinya.

Terdahulu, Utusan Malaysia mengumumkan Aminurzaliah ber­jaya membawa pulang hadiah utama sebuah Kereta Proton IRIZ 1.6 Premium CVT bagi Edisi Akhir peraduan itu.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia mengucapkan tahniah kepada keseluruhan pemenang kategori bulanan dan juga bonanza #Umenangsakan kali ini.