Menurut Perdana Menteri, peruntukan itu yang mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan juga bakal memanfaatkan sejuta ahli dalam kala­ngan peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara.

Malah, kata beliau, pemberian secara sekali itu bertujuan menghargai sumbangan petani, penternak dan nelayan yang dilihat sebagai pejuang negara atau juara yang tidak didendang.

“Sebagai menghargai golongan tersebut, kerajaan meluluskan peruntukan one-off sebanyak RM30,000 kepada setiap PPK dan PNK. Ini juga satu pengumuman yang saya percaya akan menyegarkan lagi pimpinan kita di kawasan tersebut,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK 2017) dan Festival Makanan Malaysia (MFF) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahri Suib.

Setakat ini terdapat sebanyak 278 PPK dan 88 PNK di seluruh negara.

Dalam majlis tersebut, Perda­na Menteri turut menyampaikan Anugerah Perdana kepada Kamarruzaman Abdul Jalil, 35, dari Johor Bahru, Johor.

HPPNK 2017 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta semua jabatan dan agensi di bawahnya, berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 Oktober ini di MAEPS.

Bertemakan Makanan Kita, Masa Depan Kita HPPNK 2017 merupakan platform untuk menghargai dan meraikan pihak yang terlibat dalam penyediaan makanan di semua peringkat bermula pengeluaran iaitu petani, penternak dan nelayan sehingga kepada pihak yang memproses, memasak dan menghidangkan makanan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sektor pertanian telah menyumbang sebanyak RM89.3 bilion atau 8.1 pe­ratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu, yang mana sektor agromakanan menyumbang sebanyak RM36.5 bilion (3.3 peratus daripada KDNK).

Kata beliau, pengeluaran komoditi makanan utama seperti padi, sayur-sayuran, buah-buah­an, daging dan ikan mencatatkan pertumbuhan menggalakkan iaitu pada kadar 3.9 peratus setahun dalam tempoh 2011 hingga 2016.

“Hari ini, Malaysia telah mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus bagi komoditi da­ging, te­lur ayam dan itik manakala mencapai sara diri melebihi 70 peratus bagi ikan, buah-buahan dan beras,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diberi tanggungjawab untuk menerajui pembangunan industri kulinari negara dari aspek pertanian.

“Dalam bidang kulinari ini, be­lum ada lagi mana-mana kementerian yang memberi tum­puan secara spesifik termasuklah melihat pelbagai outlet makanan seperti kafe, restoran, trak makanan, pandu lalu serta pesanan makanan secara online.

“Justeru, kementerian ini boleh melihat cara untuk menambah nilai pendapatan semua pihak dengan mengintegrasi pengeluaran daripada peringkat ladang sehingga ke meja makan,” katanya.

Selain itu, beliau turut meng­umumkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertanggungjawab untuk menyelaras program Gedung Makanan Negara melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) selain mengenal pasti pihak yang berkeupayaan untuk menjadi Gedung Makanan Negara.