Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pemberhentian kerja itu dibuat secara serentak tanpa diberikan alasan sehingga menimbulkan persoalan adakah agensi tersebut mahu mengambil pekerja asing kerana ladang serta kilangnya masih beroperasi dan memerlukan pekerja.


Tegas beliau, langkah drastik itu juga bakal memusnahkan masa depan kesemua pekerja berkenaan terutama mereka yang sudah berkeluarga dan perlu membayar pelbagai hutang pinjaman bank.


“Mereka ini adalah pekerja sementara dengan ada yang sudah berkhidmat selama 17 tahun tetapi tiba-tiba sahaja pada 10 Julai lalu mereka menerima notis pemberhentian kerja.


“Ketika ekonomi sekarang masih belum cukup baik dan golongan ini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan daripada gaji, kenapa tiba-tiba sahaja sebuah agensi kerajaan yang mempunyai hanya kira-kira 700 kakitangan memecat hampir separuh daripada jumlah itu tanpa alasan kukuh,” tegasnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Menurut beliau, langkah berkenaan menimbulkan seribu satu persoalan kerana disebabkan pemecatan itu, sebuah ladang LKM di Madai, Lahad Datu yang berkeluasan 700 hektar kini hanya diuruskan oleh seorang pekerja manakala kilangnya yang terdapat di negeri ini turut diuruskan oleh seorang individu.


Sehubungan itu katanya, pemecatan itu dilihat tidak masuk akal kerana bukan sahaja menganiaya kesemua mangsa malah boleh merugikan operasi LKM.


Menurutnya, CUEPACS akan menghantar surat kepada LKM bagi meminta penjelasan dan berharap kesemua pekerja berkenaan dapat diambil semula ke jawatan asal mereka.


“Jika LKM tidak mahu bertindak kami mohon campur tangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertindak.


“Tidak sepatutnya tindakan begini diambil. Sebagai sebuah agensi kerajaan, pekerja-pekerja ini sepatutnya dibantu bukannya dipecat sehingga kehilangan punca pendapatan,” ujar beliau.-UTUSAN ONLINE