Video oleh MOHD. NAIM AZIZ
 

Bagi Rimy Azizi Ab Karim, 37, cintanya kepada sukan tradisional itu bukan sahaja membawa dia untuk bermain sebagai pemutar gasing.

Lebih daripada itu, sejak mula belajar bermain gasing pada usia 14 tahun, dia berusaha mendalami teknik dan kemahiran membuat gasing.

Rimy yang kini bertugas sepenuh masa dengan Perbadanan Kraftangan Malaysia memberitahu sebelum mahir membuat gasing, dia pernah menuntut bersama lapan orang guru pembuat gasing.

“Biasanya saya menggunakan bongkah kayu bersaiz 6x6 inci untuk menghasilkan gasing. Proses bermula dengan kerja-kerja melarik sehingga terbentuknya sebiji gasing. Kebiasannya memerlukan selama tiga jam untuk sebuah bongkah kayu.

Cinta Rimy pada gasing

ANTARA peralatan penting penghasilan gasing. - UTUSAN ONLINE/MOHD NAIM AZIZ
 

“Kayu dari jenis keranji, cangin, merbau, tualang bakau, ciku, dan asam mata kucing antara kayu yang digunakan untuk menghasilkan gasing. Pokok leban tanduk, turap, kuning, kunyit dan pokok ru tepi laut juga dikategorikan sebagai kayu teras penghasilan gasing.

“Kayu yang telah siap diproses di ambil di bahagian teras (bahagian tengah) berdimensi saiz 5x5 inci atau 6x6 dan diperam di dalam suhu bilik selama satu hari.

Cinta Rimy pada gasing

PROSES melarik bongkah kayu memerlukan kesabaran bagi membentuk keseimbangan sebuah gasing. - UTUSAN ONLINE/MOHD NAIM AZIZ
 

“Proses itu menjadikan kayu lebih padat dan membuatkan hayat gasing lebih baik jika diperam lebih lama. Sebuah gasing yang dihasilkan mampu berpusing di antara 10 ke 15 minit untuk sekali balingan,” katanya ketika ditemui Utusan Online di Kampung Cheng Melaka baru-baru ini.

Menurut Rimy, dalam sehari beliau boleh menghasilkan sebanyak 20 biji gasing.

Cinta Rimy pada gasing

KERJA-kerja memperhalusi permukaan gasing. - UTUSAN ONLINE/MOHD NAIM AZIZ
 

Selain membuat gasing, Rimy turut mengadakan demonstrasi dan menganjur bengkel pertunjukan gasing di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur.

Pelbagai jenis gasing terhasil antaranya gasing untuk pertandingan dan gasing hiasan kraf. Harga setiap gasing dari serendah RM5 sehingga ratusan ringgit bergantung kepada saiz dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan gasing berkenaan.

Dalam sebuah pertandingan, gasing yang digunakan perlu mempunyai berat tidak melebihi 800 gram. Hanya dua jenis gasing iatu gasing pangkah berasal dari Melaka dan gasing Uri dari Kelantan.

Menurut Rimy, dia memiliki gasing yang diperbuat daripada kayu bakar berusia 100 tahun yang diwarisi dari moyangnya.

Selain Rimy, isterinya Siti Aishah Omar dan anak lelaki, Adam Tuah, 3, serta anak perempuannya Nor Umairah Bashirah, 5, turut mengikuti jejaknya bermain gasing dan membantu mengadakan persembahan. 

Jantung, Beremban, Lang Laut, Botol, Tanjung Bangelan, Piring, Talang dan Kuno antara nama-nama gasing yang terdapat di Malaysia. - UTUSAN ONLINE