Chee Kong, 52, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut selepas dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut dalam tempoh 12 tahun bermula tahun 2005 hingga 2016.

Sebanyak 78 daripada pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) manakala 68 lagi di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLA.

Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Mohd. Hafiz Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Roland Cheng dan Hamis Ismail.

Semasa berhujah, Tengku Amir meminta mahkamah menetapkan nilai jaminan RM10 juta sebagai syarat pembebasan tertuduh, bagaimanapun perkara tersebut dibantah oleh pihak pembelaan.

Nixon kemudiannya memerintahkan tertuduh diikat jamin dengan nilai RM1.5 juta manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan tarikh pengurusan kes pada 16 Januari tahun depan. - UTUSAN ONLINE