Hal itu diakui seorang petugas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohamad Fardzreen Abdul Razak yang bakal terbabit dalam operasi tren haji MMMSL, Mekah bermula 29 Ogos ini.

“Kerja-kerja mengurus penumpang MMMSL jauh berbeza dan lebih mencabar daripada apa yang kami lakukan di sini. Penumpang bergerak serentak dan dalam tempoh tertentu yang singkat berdasarkan kepada urusan ibadat haji.

“Pada Hari Wukuf pada 9 Zulhijjah, umpamanya, semua jemaah akan berpusu-pusu ke Arafah untuk berkumpul di sana. Menjelang tengah malam, ke semua mereka akan bergerak pula ke stesen Mudzalifah sebelum bergerak pula ke Mina.

Untuk tujuh hari berturut-turut termasuk dua hari sebelum Hari Wukuf, kami bertugas tujuh hari berturut-turut tanpa henti,” katanya.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam, sebelum berangkat ke Arab Saudi bersama 21 lagi petugas Prasarana.

Mohamad Fardzreen berkata, sehubungan itu, semua petugas telah diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kesihatan masing-masing dan bersedia untuk bertugas dalam tempoh panjang dengan masa rehat minimum.

Rakannya, Saiful Ezani Ibrahim, yang pertama kali diberikan peluang bertugas dalam operasi tren haji MMMSL berjanji memberikan khidmat terbaik demi menjaga reputasi Prasarana dan Rapid Rail

“Lebih penting lagi, para jemaah dapat menunaikan ibadat haji mereka selesa dan selamat. Insya-Allah,” katanya.

Prasarana dianugerahkan kontrak mengendalikan penyelenggaraan dan operasi MMMSL selama tiga tahun bermula 2015.

MMMSL yang memiliki jajaran sejauh 18.1 km dengan sembilan stesen menghubungkan Mina dan Padang Arafah dibina pada tahun 2009 oleh Kerajaan Arab Saudi dan mula beroperasi sepenuhnya pada 2010

Musim haji tahun ini adalah tahun ketiga untuk Prasarana mengendalikan projek ini. Kira-kira 350,000 jemaah haji menggunakan perkhidmatan MMMSL ini setiap tahun.