Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian akan memberikan arahan selanjutnya kepada pihak sekolah bagi memastikan cabaran tersebut tidak menjadi budaya di asrama dan sekolah.

“Cabaran ini bukan sahaja membahayakan, malah boleh membawa padah kepada pelajar-pelajar.

“Tindakan selanjutnya akan dikenakan kepada pelajar yang melakukan cabaran tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kaunseling Antarabangsa Malindo5 dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, tular video yang berdurasi 15 saat mengenai sekumpulan remaja melakukan cabaran tersebut.

Sementara itu, Pakar Kecemasan dan Trauma, Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir berkata, cabaran itu boleh menyebabkan insiden sawan, hilang ingatan, lumpuh serta kematian.

Katanya, pada tahun 2007, Amerika Syarikat (AS) pernah melaporkan kematian seorang remaja disebabkan cabaran tersebut.

“Apabila mereka menyekat darah daripada masuk ke jantung, jantung tidak dapat mengepam darah yang membawa oksigen kepada otak.

“Jika jantung itu tiada masalah dan boleh mengepam darah se­perti biasa tiada masalah, tetapi sekiranya seseorang pelajar itu tidak tahu dia mempunyai masalah jantung dan melakukan cabaran tersebut, boleh menyebabkan kematian serta-merta,” katanya,