Video oleh RAZAK LATIF

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini mendapati butang baju Melayu berbentuk keris keluaran khas AR Design Exclusive tersebut yang tular di media sosial ternyata mendapat permintaan yang tinggi.

Menurut seorang peniaga, Mohd. Syahmee Che Abd. Aziz, 31, butang berkenaan dijual dengan harga RM68 bagi setiap set dan setiap rekaan disadur dengan warna perak serta emas bagi menaikkan warna ‘sasa’ bagi golongan lelaki.

“Butang baju Melayu berbentuk keris ini sebenarnya baru sahaja memasuki pasaran dalam tempoh dua tahun. Oleh kerana permintaannya agak memberangsangkan, AR Design Exclusive menambah kuantiti dan kualiti untuk penjualannya.

“Berdasarkan perkongsian yang diterima, idea untuk menghasilkan butang baju Me­layu dengan rekaan sedemikian tercetus apabila pihak AR Design Exclusive mahu memartabatkan identiti kemelayuan melalui aksesori pakaian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengenai rekaan yang tular itu, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Muhammad Shahran Rifdi, 20, yang bekerja secara sambilan di situ me­ngakui banyak pelanggan teruja untuk membeli butang baju Melayu tersebut.

“Purata penjualan butang ini dalam masa sehari mencecah lebih 300 unit dan sehingga ak­hir Ramadan nanti, keseluruhan penjualannya di­jangka mencecah hampir 10,000 unit.

“Hal ini kerana peminat butang baju Melayu berkenaan boleh membe­linya secara atas talian atau berkunjung ke gerai kami di hadapan pasar raya Haniffa untuk melihat dan membelinya,” katanya.