Peranakan secara khusus adalah istilah terbitan kata dasar anak. Manakala, Peranakan Cina merujuk kepada sub kumpulan etnik kelahiran tempatan bukan keturunan tempatan yang mengamalkan budaya asal mereka dengan gabungan unsur tempatan.

Masyarakat Peranakan Cina di negara ini wujud secara taburan di beberapa negeri khususnya Melaka, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, Peranakan Cina Melaka dan Pulau Pinang majoritinya berasal daripada golongan saudagar serta pedagang.

Berbanding Peranakan Cina Kelantan yang rata-ratanya petani Hokkien yang berhijrah keluar daripada bencana kesusahan di China lebih 300 tahun dahulu untuk mencari kehidupan lebih selesa.

Mereka adalah kaum Cina yang meminjam seni rupa Melayu tetapi kekal utuh berjiwa leluhur nenek moyang.

MASYARAKAT peranakan Cina Kelantan menyambut perayaan Tahun Baharu
MASYARAKAT peranakan Cina Kelantan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas. - UTUSAN ONLINE

Eyo Hock Seng, 63 atau lebih dikenali sebagai Pok Cu Tok Dalang merupakan generasi kelima yang membesar di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas.

Anak bongsu daripada lapan beradik yang fasih berbahasa Melayu itu mempunyai bakat bermain wayang kulit dan sering diundang menjayakan persembahan sehingga ke luar negara.

Mempunyai tujuh anak, lima lelaki dan dua perempuan, Pok Cu juga turut menerima empat menantu perempuan daripada pelbagai suku kaum seperti Melayu, Siam, Iban dan Bidayuh.

Justeru, bahasa Melayu merupakan pengantar utama yang menjadi penghubung sesama ahli keluarga ketika berkumpul di rumahnya.

Mengakui sambutan perayaan Tahun Baharu Cina golongan peranakan berbeza dengan masyarakat Cina di bandar, Pok Cu berkata, ia secara jelas dapat dilihat daripada segi perhiasan dan makanan yang disediakan.

“Semasa menghias meja sembahyang, kita masih mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti buah limau dan batang tebu yang diletakkan di penjuru kiri dan kanan.

“Malah, semasa ‘hari raya’ (Tahun Baru Cina) juga hidangan yang disediakan saling tidak tumpah seperti masakan Melayu. Kalau rajin, ada yang menyediakan hidangan nasi kerabu tetapi disebabkan pembuatannya agak rumit ada yang menyediakan nasi putih bersama hidangan lauk pauk.

“Namun, budu dan ulam mesti ada. Ia sudah satu kewajipan bagi penduduk Kelantan dan kalau anak-anak saya pulang ke Kuala Lumpur, mereka tetap membawa budu sekali,” tuturnya ketika ditemui Utusan Online baru-baru ini.

MASYARAKAT peranakan Cina Kelantan menyambut perayaan Tahun Baharu

MASYARAKAT peranakan Cina Kelantan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas. - UTUSAN ONLINE

Walaupun telah berakulturasi lebih 300 tahun, hidangan sajian masih mempamerkan beberapa penanda identiti tradisional masyarakat Cina. Namun, pada masa sama pengaruh Melayu juga ketara.

Ujar Pok Cu, cara makan juga saling tidak tumpah seperti masyarakat Melayu.

“Anak beranak akan makan menggunakan tangan dan jarang sekali menggunakan penyepit makanan atau sudu dan garfu. Kalau dahulu duduk bersila dan bersimpuh atas lantai sambil bentang tikar, namun, apabila ada meja dan kerusi ia lebih selesa makan di situ,” jelasnya.

Bagi isteri Pok Cu, Ga Mek Lewee, 64, sudah menjadi rutin tahunannya menyediakan juadah makanan bersama anak dan menantu.

Kebiasaannya mereka akan mula sibuk menyediakan hidangan seminggu sebelum hari perayaan tiba.

Ini kerana, mereka perlu menyediakan makanan untuk upacara persembahan sajian bagi tujuan sembahyang dan pemujaan roh nenek moyang dengan masih mengekalkan bahan serta penyediaan tradisi.

“Hidangan seekor ayam mesti ada dan menantu saya berbangsa Melayu juga turut menolong menyediakan juadah berkenaan.

“Selain itu, kami menyediakan lauk pauk lain seperti udang, daging, sayur serta ulam-ulaman. Kami tidak akan memasak lauk khinzir kerana menghormati kaum lain yang juga dijemput datang beraya di rumah,” katanya.

Upacara sembahyang terbahagi kepada dua iaitu sembahyang tokong dan nenek moyang yang memakan masa selama 10 minit bagi setiap sesi.

Bagi upacara sembahyang tokong, hanya Pok Cu seorang sahaja yang akan mengendalikan acara itu dengan membakar colok serta kertas emas sebagai simbolik wang ringgit.

Ia dilakukan pada setiap hari yang ke-24 dalam bulan 12 mengikut Kalendar Cina. Selain itu, teh, biskut dan gula-gula perlu disediakan bagi upacara pemujaan roh harimau.

Sejurus upacara sembahyang pertama selesai, Pok Cu akan menyiapkan dan menyusun atur makanan bagi upacara sembahyang nenek moyang.

“Ia perlu dilakukan dengan teratur dan mengikut susunan seperti nasi dahulu kemudian diikuti lauk pauk, seekor ayam dan buah-buahan serta kuih-muih di bahagian tepi.

“Kemudian, ahli keluarga dan saudara mara yang hadir akan mengikut serta dalam upacara sembahyang berkenaan. Selepas itu, kita akan membakar kertas perak untuk dikirimkan kepada nenek moyang yang sudah lama pergi,” ujarnya.

Hakikatnya, cabaran terbesar kepada Peranakan Cina Kelantan adalah bagaimana mengekalkan identiti unik penanda komuniti mereka daripada berterusan disanggah arus kemodenan kerana jika hilang, ia tidak mungkin akan berganti sebaliknya akan terus lenyap dan pupus tanpa tanda. – UTUSAN ONLINE