Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan aktiviti tersebut di semua universiti awam di seluruh negara.

Katanya, langkah tersebut secara tidak langsung dapat menjana pemikiran kritikal di samping percambahan ilmu serta meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

“Isu yang akan dibincangkan nanti bukan sekadar isu tertentu tetapi membabitkan pelbagai isu semasa. Jika sebelum ini belia sering dikaitkan dengan cerita negatif, kali ini kita mahu ubah menjadi sebaliknya.

“Malah, kita mahu debat menjadi lebih formal dan mempunyai kesinambungan dengan membincangkan topik tersebut dalam media sosial dan juga media arus perdana,” katanya dalam sidang akhbar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq turut menjadi salah seorang pendebat bersama empat peserta lain antaranya Johan dan Pendebat Terbaik Asia 2018, Ahmad Syarifuddin Ahmad Fakhri dalam siri debat umum bulanan dikenali Re:Action-Youth Engaged anjuran UIAM serta Kementerian Belia dan Sukan.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Rektor UIAM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak. - UTUSAN ONLINE