Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, jumlah tersebut melibatkan 29,356 panggilan kebakaran, 54,884 (penyelamatan), 2,392 (khidmat khas) dan 350 (palsu).

“Jumlah panggilan yang diterima menurun sebanyak enam peratus berbanding 92,307 panggilan pada tahun 2016,” katanya semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2018 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini. 

Upacara perasmian sambutan itu disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. 

Turut berkenan berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan anakanda baginda, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Aminuddin Harun; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid. 

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, sepanjang tahun lalu, pihak bomba berjaya tiba di lokasi kejadian dalam tempoh kurang daripada 20 minit bagi 83 peratus panggilan yang diterima di seluruh negara.

“Bagaimanapun, sasaran bomba adalah untuk sampai ke tempat kecemasan dalam masa kurang daripada 10 minit,” katanya. 

Sementara itu, kira-kira 3,000 pengunjung menghadiri sambutan tersebut yang dimeriahkan dengan pertunjukan payung terjun, demonstrasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan perarakan pasukan bomba. - UTUSAN ONLINE