Kata pemuda tersebut, sejak daripada itu terdetik dalam hatinya biarlah dia susah membantu orang lain asalkan mereka tidak susah seperti nasib sama yang pernah dia rasainya.

Menurut Muhammad Israq, dia masih ingat pesan orang tuanya agar sentiasa membantu orang lain jika mampu biarpun bukan dengan wang ringgit.

“Saya memang pernah susah tolak motor, tak ada orang nak tolong tolak. Jadi sejak kejadian itu terdetik dalam hati saya biarlah aku susah tak apa dan aku tak mahu orang lain turut dapat kesusahan (menolak motosikal) seperti ini.

“Saya masih ingat pesan emak dan bapa, orang susah macam mana pun jika kita mampu tolong, kita tolong, tak semestinya dengan wang atau apa-apa barang berharga. Ini kerana kita ada tulang empat kerat anugerah Tuhan yang boleh digunakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Gambar dan video Muhammad Israq atau dipanggil ‘abang baju merah’ tular di media sosial sejak Jumaat lalu selepas pemuda yang bekerja sebagai penyelia di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor itu membantu pasangan suami isteri, Fathul Wafi Mohd. Sohkhih, 29 dan Natasya Khairuddin, 24 ketika menolak motosikal mereka yang rosak.

Kejadian yang berlaku berhampiran susur keluar Setia Alam di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) itu menyaksikan Muhammad Israq menyerahkan kunci motornya untuk ditunggang pasangan suami isteri tersebut sementara pemuda yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor itu menunggang perlahan motosikal Fathul Wafi.

Gambar dan video yang dimuat naik oleh Natasya di akaun Facebook peribadinya mendapat lebih 31,000 reaksi, 3,536 komen dan dikongsikan lebih 5,971 kali orang pengguna media sosial berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Israq memberitahu, sebelum ini dia pernah membantu beberapa pengguna motosikal lain termasuk pasangan suami isteri di kawasan sama.

“Di tempat sama dah tiga kali termasuk pasangan suami isteri yang menolak motosikal selepas tayarnya pecah. Saya kemudiannya membantu membawa motosikal mereka sampai ke Meru, Klang.

“Satu lagi kejadian adalah penunggang motosikal yang kehabisan minyak petrol, saya bantu tolak motosikalnya sampai ke stesen minyak di Setia Alam. Tapi, kalau nak bantu pun tengok keadaan sebab takut kejadian samun yang mungkin berlaku,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE