Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan di Putrajaya kira-kira pukul 9 pagi semalam.

“Dalam perbincangan itu, timbul cadangan supaya saya lepaskan jawatan dan saya terima. Saya tiada masalah (meletakkan jawatan). Ini penyelesaian terbaik kerana FGV mempunyai potensi yang baik. Kalau kurang kenyataan negatif dikeluarkan adalah lebih baik untuk syarikat itu.

“Isu kemelut FGV dikaitkan de­­­ngan politik, ada yang cuba eksploi­tasi dan ini mening­galkan kesan ku­rang baik. Ramai yang lebih minat cerita yang tiada kaitan dengan isu asal dalam syarikat. Ini merugikan dari segi perniagaan kepada FGV,” kata­nya ketika ditemui di kediamannya di Senawang di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri me­ngumumkan bahawa Mohd. Isa melepaskan ja­watan Pengerusi FGV dengan rela hati dan digantikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob.

Mohd. Isa kemudian dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhan­jaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Kemelut dalam­an FGV timbul selepas Lembaga Peng­arah mengarahkan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan tiga lagi pengurusan kanannya bercuti berikutan dakwaan wujud salah laku tadbir urus dan pelanggaran prosedur dalam anak syarikatnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Isa berkata, tidak timbul soal beliau mengalah dalam kemelut FGV sehingga terpaksa berundur daripada jawatan tersebut.