Menurut sumber, masalah tersebut dikatakan timbul selepas ada pihak tidak bertanggungjawab berselindung di sebalik tanah adat yang dimiliki oleh Orang Asli.

Malah katanya, ada pekebun yang sanggup membayar harga mahal bagi menggunakan tanah adat dan meraih pendapatan tinggi dengan menjalankan aktiviti penanaman di kawasan berkenaan.

“Apabila ada agensi atau operasi dilakukan, pekebun-pekebun ini tidak akan mengakui bahawa kebun tersebut merupakan milik mereka dan berselindung di sebalik tanah Orang Asli dengan memberi wang kepada mereka.

“Ini juga sudah semestinya menjadi kerja mudah bagi mereka (Orang Asli) dengan mendapat untung ‘atas angin’. Jadi, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan? Apa yang membimbangkan, Orang Asli akan mempengaruhi pemilik lain pula nanti untuk memberikan tanah mereka kepada pekebun tamak,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, sumber tersebut turut berkata, apa yang menghairankan ada ‘orang luar’ dengan mudah mendapat tanah terutama untuk menjalankan aktiviti pertanian berbanding orang tempatan yang terpaksa menunggu serta membuat beberapa kali permohonan.

Tambahnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan perlu melalui proses yang telus serta mengikut undang-undang sedia ada.