Van yang membawa jenazah pelajar berkenaan tiba di rumah datuknya, Ahmad Motai pada pukul 11.40 malam sejurus selesai proses bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan selepas selesai disembahyangkan dan selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.20 tengah malam.

Kira-kira 30 pelajar madrasah tahfiz yang merupakan rakan-rakan Mohamad Thaqif Amin hadir dan turut mengadakan majlis tahlil dan bacaan yassin di kediaman keluarga Allahyarham.

Mohamad Thaqif Amin menghembus nafas terakhir pada pukul 2.05 petang semalam ketika dirawat di Wad Dependensi Tinggi (HWD), HSI. 


Video oleh NUR AISYAH MAZALAN

Mohamad Thaqif Amin, yang dipotong kedua belah kaki hingga paras peha akibat dijangkiti kuman dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku pada 8 pagi semalam, namun, ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kisah Mohamad Thaqif Amin menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolahnya.

Pembantu warden lelaki berusia 29 tahun itu kemudian ditahan dan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes. - UTUSAN ONLINE