Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia juga meminta Kaunselor Myanmar Aung San Suu Kyi untuk melaksanakan segera segala syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Penasihat mengenai wilayah Rakhine yang dipengerusikan oleh Kofi Annan.


“Situasi di wilayah Rakhine perlu diatasi segera. Keadaan yang bergolak hanya akan menyebabkan lebih banyak golongan direkrut dalam kumpulan ektremis.


“Semua sedia maklum Daesh menjadikan Asia Tenggara dan Asia Selatan sebagai sasaran. Sekiranya ini berlaku, Malaysia dan negara-negara jiran yang terpaksa berhadapan ketidakstabilan di rantau ini,” katanya ketika berucap kepada Kumpulan Pertubuhan Kerja­sama Islam (OIC) mengenai Minoriti Muslim di Myanmar dalam pertemuan di New York, Amerika Syarikat (AS) hari ini. 


Video ihsan dari WISMA PUTRA

Sementara itu, dalam program berasingan di New York iaitu Forum Menghentikan Buruh Paksa, Perhambaan Moden dan Pemerdagangan Orang, Anifah dalam ucapannya berkata, Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan mengetatkan undang-undang bagi menangani perkara tersebut.


“Malaysia juga mengiktiraf kepentingan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa untuk mengatasi jenayah ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE