Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan tiga defendan iaitu Pengasas Maahad Tahfiz tersebut, Datuk Adnan Hashim; pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham dan syarikat van, Ct-one Corporation Sdn. Bhd membayar keseluruhan ganti rugi tersebut.

Hakim Nazri Ismail berkata, ganti rugi tersebut melibatkan pelbagai kos termasuk rawatan yang perlu ditanggung keluarga plaintif kerana mangsa mengalami kecederaan di kepala dan retak saraf tunjang.

Dalam kes saman tersebut, plaintif terdiri daripada Muhammad Faiz dan ibunya, Jahsuriawany Mustapha, 46, diwakili peguam mereka, R. Kameswary dan Mazlinda Mahmud.

Pihak defendan diwakili Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azman.

Bagaimanapun, kesemua defendan tidak menghadiri prosiding kes hari ini.

Hakim dalam keputusannya berkata, mahkamah mendapati kesemua defendan bertanggungjawab 100 peratus terhadap kecuaian tersebut dan perlu membayar ganti rugi berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi, 2 Jun tahun lalu, tujuh pelajar sekolah itu maut selepas van dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Kampung Telekong, Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu.

Van yang dipandu oleh guru tahfiz itu, Muhammad Hamzi dikatakan dalam perjalanan ke program Tafsir al-Quran di Kota Bharu yang membawa 12 pelajar termasuk dua guru pengiring. - UTUSAN ONLINE