Timbalan Ketua Pengarah FAMA (pembangunan), Mansor Omar berkata, masyarakat tidak perlu membuat pembelian panik kerana pihaknya sudah berbincang dengan pembekal yang memberi jaminan akan meningkatkan bekalan sehingga tiga kali ganda.

Beliau berkata, untuk langkah tambahan, bekalan sejuk beku ikan, ayam dan daging juga ditingkatkan sebagai pilihan kepada pengguna.

“Kita jamin harga adalah berpatutan jadi masyarakat tidak perlu bimbang, datang sahaja ke RTC untuk mendapatkan bahan mentah segar seperti biasa dan belilah mengikut keperluan.

“Antara inisiatif kita memastikan bekalan mencukupi adalah meminta kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar tidak menyekat lori yang membawa bekalan bahan mentah ke pasar utama,” katanya selepas melancarkan Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani Kekal RTC Kelantan dan Bazar Industri Asas Tani (IAT) di sini hari ini

Yang turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Mohd Ariffin Awang.

Sementara itu, Mohd Ariffin berkata, bilangan pengunjung ke RTC Kelantan meningkat sekali ganda daripada 10,000 orang sehari pada hari biasa kepada 20,000 orang sehari pada minggu terakhir Ramadan.

Beliau memberitahu, RTC Kelantan menduduki tangga teratas dari 11 RTC seluruh negara apabila menarik bilangan pengunjung teramai dan jumlah jualan tertinggi selama empat tahun berturut-turut bermula 2014.

“Pada tahun lalu sahaja nilai jualan keseluruhan di RTC Kelantan adalah RM287 juta dan bilangan pengunjung 4.02 juta,” katanya. - UTUSAN ONLINE