Bapa kepada salah pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat, Umar Al-Khattab, 7, yang hanya mahu dikenali sebagai Helmi berkata, dia sempat meluangkan masa membawa anaknya makan bersama semalam.



Menurut beliau, biarpun baru sahaja mendaftarkan mangsa di pusat tahfiz kurang dari dua minggu, anaknya menyatakan keseronokkan menuntut ilmu di sana.



Katanya, beliau dimaklumkan mengenai insiden berkenaan selepas Subuh pagi tadi oleh pihak hospital.



“Anak baru masuk lepas Hari Raya Aidiladha lalu. Saya tak jangka perkara ini akan berlaku sebab petang semalam kami berjumpa dan saya mengajaknya makan bersama.



“Sebelum balik ke pusat tahfiz, dia sempat bermain di taman. Anak pernah cakap dia seronok dekat sana,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur hari ini.



Dianggarkan 24 mangsa terkorban dalam insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, pada pukul 5.41 pagi tadi.



Kebakaran difahamkan bermula di tingkat dua bangunan tersebut dan api dapat dikawal pada pukul 6.15 pagi sebelum padam sepenuhnya pada pukul 6.45 pagi.



Sementara itu, Mazzaini Muda, 47, yang merupakan ibu kepada seorang lagi mangsa, Ahmad Rijal Mohd. Rodzi, 13, berkata, dia reda dengan kejadian yang meragut nyawa anak bongsunya itu.



“Suami saya telefon dalam pukul 7 pagi ketika siap hendak pergi kerja berita mengenai kejadian dan dapat pengesahan apabila tengok berita.



“Saya reda saya gembira sangat Allah pilih dia untuk syahid. Sebelum ini saya pun berdoa agar dapat syahid tapi jalan dia lagi mudah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE