Video oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, apatah lagi seluruh dunia kini sedang memandang ke arah Turki dan Malaysia dalam isu berkenaan.

Kata beliau, ini adalah masanya untuk seramai 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia bersatu membantah tindakan Israel itu yang hanya berjumlah 13 juta penduduk.

"Perhimpunan itu penting kerana ia boleh membangkitkan kesedaran kita untuk mengetahui isu-isu umat Islam yang melanda di seluruh dunia.

"Kadang-kadang kita lebih tahu tentang kelab bola sepak dan artis berbanding masalah umat Islam sehinggakan kita gagal mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku," katanya ketika ditemui semasa perhimpunan 'Raja Memimpin Umat-Isu Palestin' di Masjid Tuanku Syed Putra Kangar, hari ini.

Menurut Mohd. Asri, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selaku pemimpin rakyat negeri ini telah turut menunjukkan bantahan terhadap isu berkenaan menerusi perhimpunan tersebut.

"Semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir dan berucap dalam masjid," katanya yang turut menggesa umat Islam memboikot produk barat yang secara jelas menyokong tindakan dilakukan Israel.

Dalam pada itu, ketika menyampaikan khutbah solat Jumaat, Mohd. Asri berkata, inilah masanya untuk umat Islam bermuhasabah diri dalam aspek sikap, disiplin dan didikan kerana setiap individu akan dipersoalkan semasa di Padang Mahsyar kelak. - UTUSAN ONLINE