Rais Yatim menunjukkan buku mengenai penganjuran Kongres Budaya
RAIS YATIM menunjukkan buku mengenai penganjuran Kongres Budaya 2017
di Plaza Sentral, Kuala Lumpur, semalam.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pada ketika itu, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sudah dilupakan dan hanya digunakan untuk urusan tidak rasmi sahaja.

“Saya meramalkan dalam tempoh kurang 20 tahun, bahasa Melayu akan menjadi bahasa lemah sama sekali dan hanya digunakan di pasar sahaja. Jika sesuatu tidak dilakukan bukan sahaja bahasa malah budaya seperti tarian kita akan mati sama seperti yang berlaku kepada tulisan Jawi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Berikutan itu, Rais berkata, kerajaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Kongres Budaya 2017 bagi mencari idea-idea baharu yang boleh diketengahkan dalam usaha memperkasakan budaya dan adat Melayu yang semakin terhakis sejak kebelakangan ini.

Katanya, kongres yang kali terakhir dianjurkan pada tahun 1971 itu akan diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 April depan dan bakal membabitkan penglibatan lebih 80 jabatan kerajaan serta 350 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

“Kalau kita tidak mulakan dari sekarang, bila lagi? Adat juga sudah semakin menghilang, sedangkan raja-raja Melayu begitu bergantung kepada adat. Tetapi masalahnya kini ialah adat sudah tidak diajar dan diamalkan.

“Kongres ini diadakan untuk memberi peluang kepada kaum Melayu, Cina dan India untuk menyentuh hal-hal rapat dengan masyarakat contoh berkaitan perpaduan dan hilangnya cara hidup bermoral tinggi,” katanya.

Rais menambah, rumusan akhir daripada kongres tersebut khususnya dari aspek pembudayaan akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan untuk dipertimbangkan bagi dimasukkan ke dalam agenda Transformasi Nasional 50 (TN50).

Kata beliau, sebelum kongres diadakan, pihaknya akan me­nganjurkan beberapa siri bengkel bagi membicarakan topik me­rangkumi budaya, ekonomi, bahasa, kandungan kreatif, warisan dan institusi adat Melayu.