Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA), Dr. K. Nagalingam berkata, baik dalam bidang pendidikan mahupun pasaran pekerjaan, penguasaan lebih daripada dua bahasa satu bonus yang mampu menjadikan seseorang itu lebih ke hadapan berbanding yang lain.

“Apabila seeorang itu boleh bertutur dalam pelbagai bahasa, potensi untuk diambil bekerja adalah lebih tinggi berbanding dengan individu lain yang tidak memiliki kebolehan yang sama.

“Banyak syarikat tempatan atau antarabangsa seringkali mengutamakan kebolehan bertutur lebih daripada tiga bahasa sebagai aspek utama dalam pengambilan pekerja,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Bahasa Antarabangsa di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Jabatan Bahasa Antarabangsa IPGKBA, Dr. Suraya Sulyman.

Menurut Dr. Nagalingam lagi, dengan perkembangan teknologi masa kini, pembelajaran bahasa dan linguistik dianggap mudah dan boleh diikuti bukan secara konvensional di mana internet menjadi platform penting dan efektif yang memudahkan sesiapa sahaja belajar bahasa asing secara percuma.

Hari Bahasa Antarabangsa adalah acara tahunan IPGKBA sejak 2010 bertujuan mendekatkan diri pelajar sekolah menengah dan institusi perguruan mengenali pelbagai bahasa asing termasuk Jepun, Perancis dan Jerman.

Program yang diadakan sehari itu melibatkan 10 buah sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan dengan pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk pertandingan nyanyian, pameran dan gerai jualan yang bertemakan “Perpaduan adalah Kepelbagaian”.

Sementara itu, menurut pelajar IPGKBA, Izzat Iskandar Farisa, 21, mempelajari bahasa asing amat membantu dalam kehidupan, apatah lagi kini, jaringan komunikasi menjadi semakin mudah dengan adanya perkembangan teknologi.

“Mempelajari bahasa popular termasuk Jepun atau Perancis menjadi bonus kepada seseorang khususnya mereka yang gemar menggemara atau berkunjung ke negara lain. Ini sedikit-sebanyak membantuk mereka memahami budaya dan masyarakat dengan lebih mendalam,” katanya yang sedang mempelajari bahasa Jepun

Bagi Ariana Jawad, 14, dia mempunyai minat mendalam untuk mempelajari bahasa Jerman yang membolehkannya memahami budaya dan masyarakat negara itu dengan mudah.

“Saya merancang untuk melanjutkan pelajaran ke negara itu. Penguasaan bahasa berkenaan adalah penting dan menjadi kriteria utama untuk tujuan itu,” ujar pelajar daripada Sekolah Menengah Sri Hartamas itu.- UTUSAN ONLINE