Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

Azhar tiba di pejabat syarikat itu yang terletak di Menara Felda, Persiaran KLCC di sini kira-kira pukul 8.15 pagi, memulakan tugasnya selaku pengerusi syarikat dengan mengadakan mesyuarat bersama pengurusan kanan dan Lembaga Pengarah FGV serta bertemu dengan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Walaupun turut terhimpit de­ngan pelbagai konflik yang melanda syarikat perladangan itu termasuk isu mengenai pelantikannya sebagai pengerusi syarikat, beliau tidak mahu perkara itu mengganggu usahanya memulihkan FGV.

Menurutnya, hasil daripada mesyuarat pertamanya dengan kakitangan pengurusan tertinggi FGV, beliau memberitahu syarikat itu perlu kembali memberi tumpuan terhadap perniagaan teras, iaitu segmen perladangan sawit.

Jelas beliau, peningkatan men­dadak saham FGV pada sesi dagangan hari ini sehingga mencecah RM1.71 sesaham juga memberi petunjuk tanda-tanda trend perkembangan sihat syarikat itu sedang berlaku dan beliau mahu momentum positif diteruskan.

“Kita ada mesyuarat pagi ini dan kita akan menyelesaikan pelbagai perkara satu persatu. FGV perlu fokus kembali apa yang syarikat sepatutnya buat.

“Pasaran pagi ini pun bagus dan kita mahu perkembangan positif ini diteruskan. Apapun operasi syarikat berjalan seperti biasa terutama bagi memastikan kepentingan pemegang-pemegang saham FGV dilindungi,” katanya semasa ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mesyuarat bersama pengurusan tertinggi itu turut disertai Datuk Khairil Anuar Aziz yang kini merupakan pegawai bertanggungjawab mengambil alih pe­ranan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad yang sedang bercuti kerana melalui siasatan dalaman mengenai transaksi syarikat itu yang mencurigakan, Azhar menjelaskan perkara tersebut belum diputuskan dan perlu mengambil sedikit masa bagi mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak sebelum keputusan akhir diumumkan.

Beliau juga menjelaskan, tidak mempunyai apa-apa permasalahan dengan pemangku Pengerusi sebelum ini, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berhubung kedudukan jawatan pengerusi tetapi sebaliknya lebih memberi tumpuan untuk mengukuhkan semula syarikat berbanding mengeruhkan keadaan.

Azhar yang juga bekas Pe­ng­arah Urusan Malakoff Corporation Berhad dilantik sebagai pengerusi baharu FGV berkuat kuasa 8 September lalu menerusi pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap beliau berpengalaman luas dalam sektor korporat bagi membantu memantapkan lagi urus tadbir syarikat perladangan itu.