Cabaran bermain rentak muzik yang berasal dari Indonesia ini bagaimanapun tidak menjadi halangan penubuhan Kumpulan Keroncong Maktab Sultan Ismail (SIC) di sini sejak 2015 yang telah diasaskan Guru Cemerlang Muzik, Md Razi Daud.

Kumpulan ini menjadi satu-satunya kumpulan keroncong sekolah di negeri ini setakat ini dan dipercayai antara segelintir kumpulan keroncong asli yang wujud dalam negara.

Md Razi ketika ditemui berkata, berbekalkan modal RM5,000 daripada pengurusan sekolah, pihaknya telah menempah set penuh instrumen keroncong termasuk ‘double bass’, ‘cello’, biola, flut, gitar, cuk dan cak dari Indonesia untuk kegunaan kumpulan tersebut tiga tahun lalu.

“Kos ini termasuk sesi latihan dengan penggiat keroncong dari Solo, Indonesia iaitu Pak Raharjo yang datang memberi bimbingan kepada pelajar terpilih selama dua hari.

“Pelajar yang menjadi kumpulan perintis seramai 11 orang dipilih daripada kalangan ahli muzik terbaik sekolah kerana keroncong memerlulan kemahiran tinggi,” katanya ketika ditemui di sekolah itu di sini hari ini.

Md Razi berkata, antara lagu keroncong yang sering dimainkan anak didiknya adalah Bengawan Solo, Keroncong Kemayoran dan Keroncong Kuala Lumpur selain mampu meng’keroncongkan’ lagu-lagu popular anak muda masa kini.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Keroncong SIC, Muhammad Farid Rizqeen Mohd Fadzlini, 18, yang bermain ‘double bass’ berkata, keroncong berbeza dengan permainan dalam ‘band’ muzik moden yang hanya menumpukan kepada melodi satu atau dua alatan muzik.

“Kumpulan keroncong memerlukan sekurang-kurangnya tujuh hingga sembilan pemuzik semasa persembahan dan setiap pemuzik akan berada dalam keadaan ‘sibuk’ kerana masing-masing mempunyai alunan melodi sendiri tetapi pada masa sama perlu pandai masuk dalam irama lagu kumpulan.

“Kami teruja meneroka muzik keroncong dan berlatih bersama Cikgu Razi sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memahirkan diri dengan muzik ini.

“Walaupun masih baru, kami pernah dipanggil membantu menubuhkan kumpulan keroncong Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Selangor tahun lalu,” katanya.

Muhammad Farid yang turut aktif dalam kumpulan pancaragam dan orkestra selain mahir bermain 10 instrumen muzik berkata, setakat ini Kumpulan Keroncong SIC berpeluang membuat persembahan untuk majlis-majlis rasmi di sekolah dan program anjuran Jabatan Pendidikan negeri. - UTUSAN ONLINE

Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD