Video oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, anak kedua pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang telah dilahirkan secara semula jadi dalam kurungan.

“Anak panda kedua ini telah dilahirkan dengan berat 150 gram pada pukul 7.50 pagi dan ia lahir 89 hari selepas daripada tarikh persenyawaan pasangan panda gergasi tersebut pada 18 Oktober tahun lalu.

“Bagaimanapun jantina anak panda gergasi ini masih belum dapat dipastikan memandangkan Liang Liang masih melindungi anaknya yang sedang dalam fasa menyusu,” katanya dalam sidang akhbar khas di Kompleks Konservasi Giant Panda, di sini hari ini.

Kerajaan Malaysia telah menerima sepasang panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang daripada Kerajaan China pada 21 Mei 2014 sebagai tanda meraikan ulang tahun ke-40 menjalinkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Menurut Wan Junaidi, kedua-dua ibu dan anak panda gergasi tersebut kini berada dalam keadaan sihat dan kini dikuarantin dan tidak akan dipamerkan kepada pengunjung sehingga suatu tempoh yang ditetapkan.


Video ihsan ZOO NEGARA

Ini adalah bertujuan untuk memastikan tahap kesihatan kedua-duanya berada dalam keadaan terbaik dan sihat malah pemantauan berterusan secara intensif dilakukan oleh Pegawai Veterinar Zoo Negara.

Ujarnya, buat masa ini anak kedua panda gergasi tersebut juga belum diberikan nama dan tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pertandingan menamakan anak panda kedua ini seperti sebelum ini.

Kata beliau lagi, kelahiran anak kedua panda gergasi ini juga membuktikan bahawa pengurusan konservasi Giant Panda di negara ini diuruskan pada tahap terbaik hasil kerjasama pakar-pakar daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta. - UTUSAN ONLINE