Ahli Majlis Lejislatif Wilayah Hualien, Hsiao Bi-khim berkata, dengan kemudahan yang ada itu, rakyat Malaysia lebih mudah untuk melawat Taiwan yang juga terkenal dengan pelbagai lokasi ekopelancongan terbaik.

"Kami menawarkan pelbagai lokasi pelancongan di Hualien yang boleh dilawati sepanjang tahun.

"Selain itu, wilayah ini juga mempunyai suku kaum orang asli Taiwan yang mempunyai pelbagai budaya, makanan dan juga kepakaran khusus yang menjadi daya tarikan khusus di Hualien," katanya.

Beliau berkata demikian kepada kumpulan wartawan dari Asia Tenggara, Asia Selatan dan New Zealand yang dijemput melawat negara itu melalui program Dasar Hala Ke Selatan Baharu (NSP) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Bi-khim turut menjelaskan, pihaknya kini sedang meningkatkan produk pelancongan Muslim dengan mengambil kira penyediaan makanan dan produk halal kepada para pelancong.


Video oleh MOHD. HAZLI HASSAN

"Mungkin makanan, produk dan penginapan berasaskan Muslim banyak di Taipei dan kurang di wilayah ini namun kami sedang berusaha menuju ke arah itu untuk kemudahan semua pihak," katanya.

Menyentuh mengenai NSP, Bi-khim berkata, Taiwan selama ini yang terlalu bergantung kepada China kini perlu mengubah strategi dengan membuka laluan kepada negara jiran yang berada di selatan pula.

Menurut beliau, ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada China selain membuka peluang kepada negara-negara di selatan Taiwan untuk kerjasama dua hala dalam pelaburan, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan.

"Dasar baharu yang diperkenalkan oleh Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen pada September tahun lepas itu membuka lebih banyak peluang kerjasama menang-menang antara 18 negara yang dikenal pasti," katanya.

Untuk rekod, seramai 13,838 pelajar dari Malaysia melanjutkan pendidikan ke Taiwan daripada keseluruhan 29,145 pelajar asing tahun lepas. - UTUSAN ONLINE